Sunday, 8 April 2012

Rahmat dan Keampunan

Bismillah....

Manusia tidak lari daripada membuat kesilapan. Aku juga begitu. Namun manusia juga berhak diberi peluang dan ruang untuk berubah dan membaiki diri supaya menjadi lebih baik. Sekurang-kurangnya kita cukup sedar diri di mana kedudukan kita di sisi Allah.

Tapi,seandainya aku ditakdirkan menjadi kayu api di dalam neraka, maka jadilah aku. Sekurang-kurangnya aku tahu Allah telah mengadiliku dengan sebaiknya. Andai kau sebagai manusia yang juga sepertiku,yang juga tidak terlepas daripada membuat kesilapan, ingin menghukum dan menilaiku dari segala kesilapan lalu ku, aku mohon kau buka sedikit ruang untuk aku betulkan apa yang silap...


...for we are always sinning and Allah will forgive....


Teringat aku akan satu kisah ini...Pada zaman dahulu dikatakan ada seorang lelaki telah membunuh nyawa manusia sehingga mencecah jumlahnya seramai 99 orang. Lantaran terlalu banyak dosa yang telah dilakukan maka perasaan bersalah telah merobek tangkai hatinya dan dia ingin menyucikan diri dengan bertaubat ke hadrat yang Esa. Pada suatu hari, setelah puas mencari, akhirnya dia dibawa untuk bertemu dengan seorang pendeta. Setelah bertemu, si pendeta bertanya " Apakah hajat mu datang ke mari?"



Setelah ditanya,dengan jujur dan ikhlas lelaki tadi telah menceritakan apa yang telah membelenggu fikiran dan perasaannya.Maka bertanyalah lelaki tadi kepada sang pendeta, "Wahai sang pendeta, setelah kejahatan  membunuh jiwa yang tidak berdosa seramai 99 orang,apakah ada lagi ruang untukku bertaubat? Dan sekiranya aku benar-benar bertaubat, adakah taubat ku diterima?



Jawapan ringkas telah diberi oleh sang pendeta. " TIDAK! Sesungguhnya taubatmu tidak akan diterima."



Setelah mendengar jawapan tersebut, lelaki berkenaan mula berang lantas membunuh sang pendeta,maka genaplah bilangan yang ke 100 orang yang telah dibunuhnya.Tanpa mengenal erti putus asa,lelaki tadi masih mencari orang yang alim untuk meminta nasihat dan saranan.



Tidak lama kemudian, pencariannya telah berakhir setelah dia dibawa bertemu dengan orang alim iaitu ahli ilmu di negeri itu. Perkara yang sama telah diceritakan kepada orang yang alim itu. Maka ditanya lagi, " Wahai tuan yang mulia,setelah aku membunuh 100 manusia, apakah ada lagi ruang dan peluang untukku bertaubat dan membersihkan segala dosa-dosaku yang silam,dan sekiranya aku benar-benar bertaubat, adakah taubat ku diterima oleh Allah?"

Maka orang alim itu menjawab " Ya! Ruang untuk mu bertaubat masih lagi terbentang luas kerana sesungguhnya tiada siapa pun yang berhak menghalang untuk seseorang itu bertaubat. Sekiranya kamu benar-benar ingin bertaubat, pergilah kamu ke satu daerah kerana di sama penduduknya menyembah Allah swt. Janganlah sesekali kamu kembali ke kampung halaman mu yang penuh dengan maksiat dan dosa."



Dengan semangat dan azam yang tinggi untuk bertaubat, maka lelaki tadi pergilah ke daerah yang dinyatakan oleh orang yang alim tadi. Namun kuasa Allah tiada siapa pun yang mampu menghalang apabila dipertengahan jalan,tiba-tiba lelaki tadi telah menemui ajalnya...



Maka datanglah malaikat rahmat dan azab untuk menjalankan tugasnya. Apa yang pasti,kedua-dua malaikat tadi telah berkelahi berebut lelaki itu dan masing-masing berhujah.



Kata malaikat rahmat, "Lelaki ini menjadi hakku kerana dia ke sana dengan niat yang suci iaitu dia benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan sepenuh jiwa dan raganya kepada Allah swt."



Kata malaikat azab pula, " Sesungguhnya lelaki ini tidak pernah melakukan kebaikan walau sebesar zarah pun. "



Maka Allah telah menghantar malaikat yang lain untuk menghakimi dan mengadili. Berkatalah malaikat yang diutus oleh Allah itu, " Sekarang aku mengadili apa yang selayaknya untuk lelaki ini. Sekarang ukurlah jarak kedua-dua daerah itu. Apa yang pasti,nasibnya akan ditentukan bedasarkan jarak yang paling hampir."



Apabila diukur ternyata kebenaran berpihak kepada malaikat rahmat kerana setelah diukur mereka mendapati daerah yang ingin dituju lelaki itulah yang palin hampir. Kemenangan berpihak kepada malaikat rahmat dan tidak dipertikan kan oleh malaikat azab lagi. Akhirnya, kedua-dua malaikat tersebut menerima keputusan dengan senang hati tanpa ada sebarang rasa keraguan yang bersarang di hati.






Firman Allah, surah Tahrim ayat 8 :



"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha."



Nabi juga pernah bersabda,



" Jika kau berbuat kesalahan memenuhi langit, lalu menyesal,tentu Allah menerima taubatmu"




p/s : aku manusia biasa yang tidak sempurna yang juga pernah melakukan kesilapan. tiada apa yang hendak dibanggakan dengan kehidupan yang lalu melainkan penyesalan dan kekecewaan. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosaku. Ameen.


this photo credit to rusydee artz



No comments:

Post a Comment