Pada suatu hari, Nabi Musa telah bertanya kepada Allah " Wahai Tuhanku,aku ingin mengetahui siapakah yang akan berjiran denganku di syurga nanti?"
Saat itu juga Allah menjawab segala persoalan dengan mengatakan siapakah nama empunya diri, kampung serta tempat tinggalnya.
Setelah perjalanan memakan masa berhari-hari maka sampailah Nabi Musa ke tempat yang ditujui. Dengan izin Allah jua dan bantuan beberapa pendududuk di situ, maka Nabi Musa telah berjaya menjejaki rumah yang di cari-cari olehnya. Sesampainya di sana, Nabi Musa telah memberi salam kepada penghuninya dan salam itu telah dijawab oleh seorang pemuda. Setelah itu, Nabi Musa dipersilakan masuk dan baginda diminta duduk di ruang tamu.
Apa yang pasti, pada awalnya si pemuda langsung tidak mempedulikan kehadiran Nabi Musa secara sewajarnya sebagai seorang tetamu. Ini adalah kerana setelah Nabi Musa dipersilakan duduk, pemuda itu lantas melakukan sesuatu di dalamnya. Sebentar kemudian pemuda itu keluar dari bilik sambil di tangannya membawa seekor babi betina yang sangat besar. Babi betina itu didukung dengan cermat. Apabila terpandang sahaja babi betina itu, Nabi Musa berasa sangat terkejut dan hairan sambil bertanya di dalam hatinya apa yang sedang berlaku? Babi betina itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik dan cermat oleh pemuda itu. Setelah selesai babi betina itu dimandikan,babi betina tersebut dilap sehingga kering kemudian dipeluk cium dengan penuh kasih sayang dan kemudian dihantar babi betina itu ke dalam bilik.
Apa yang lebih menghairankan Nabi Musa,tidak lama selepas itu pemuda tadi keluar semula dari dalam bilik sambil membawa seekor lagi babi jantan yang lebih besar. Babi jantan itu turut dimandikan dan dibersihkan dengan baik. Kemudian dilap dengan kering serta dipeluk cium dengan penuh kasih sayang. Kemudian babi jantan itu dihantar semula masuk ke bilik .
Bagi menjawab segala persoalan yang membelenggu fikirannya,maka dengan segera Nabi Musa bertanya kepada pemuda tersebut, "Wahai anak muda, apakah agama kamu?"
"Aku beragama Tauhid," jawab pemuda tersebut. Walaupun persoalan itu telah pun dijawab, namun Nabi Musa masih belum berpuas hati dengan jawapan yang telah diberi lantas sekali lagi baginda bertanya kepada pemuda itu, " Wahai anak muda,aku berasa hairan dengan kamu..seandainya kamu beragama Tauhid sudah pasti kamu tahu bahawa hukum serta kesalahan membela babi."
Pemuda itu menjawab, "Wahai tuan hamba, sesungguhnya dua ekor babi yang engkau lihat tadi adalah keduan-dua ibu bapa kandungku.Tetapi malangnya mereka telah melakukan dosa yang besar, maka Allah pun telah menukar kedua-duanya menjadi babi yang hodoh rupanya. Bagiku soal dosa pahala itu adalah suatu perkara yang tidak perlu dipersoalkan kerana itu adalah urusan mereka dengan Allah. Namun, apa yang pasti telah menjadi tanggungjawabku sebagai seorang anak menjaga mereka dengan baik. Setiap hari juga aku akan berbakti kepada keduanya tanpa rasa jemu kerana sesungguhnya aku menyedari tanggungjawab dan amanah yang terpaksa aku pikul selagi aku bergelar seorang anak.
Pemuda itu menyambung lagi kata-katanya, "Setiap hari, aku berdoa ke hadrat Allah agar memberikan rahmat dengan mengampuni segala dosa dan kesalahan ibu bapaku. Disamping itu juga, aku berdoa agar Allah menukar wajah ibu bapaku kepada rupa paras yang asal iaitu sebagaimana rupa manusia yang sebenar. Tetapi nampaknya,sehingga saat ini Allah masih belum lagi memakbulkan permintaanku."
Dengan keizinan dan kekuasaan dari Allah,maka pada saat itu Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa, "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran denganmu di syurga nanti. Ini kerana hasil usaha dan baktinya yang tidak pernah berbelah bahagi kepada kedua ibu bapanya walaupun kedua ibu bapanya telah bertukar menjadi babi. Justeru kami telah menaikkan maqamnya sebagai anak yang soleh pada sisi kami. Oleh kerana dia juga telah berada pada maqam anak yang soleh, maka kami telah mengangkat doanya. Lalu kami tempatkan kedua-dua ibu bapanya yang kami sediakan pada asalnya di dalam neraka telah kami pindahkan ke dalam syurga.
MasyaAllah...Begitulah hebat dan berkatnya doa anak yang soleh. Doa anak yang soleh sesungguhnya dapat menebus segala dosa ibu bapanya. Sesungguhnya, erti sebuah kasih sayang seorang anak terhadap kedua-dua ibu bapanya adalah melalui hamparan doa yang tidak pernah putus terhadap mereka agar kedua-duanya ditempatan di sisi Allah ke satu tempat yang terbaik untuknya di alam akhirat.
Sabda Rasulullah saw maksudnya,
"Apabila seseorang itu mati maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara. Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya."
pic credit to rusydee artz.
No comments:
Post a Comment